
“Pengarah Urusan Yayasan (kanan) menyerahkan sijil penyiapan rumah kepada Dayang Nursakinah binti Abdullah (kiri)”"
Pada hari Khamis, 8 Syaaban 1433H bersamaan 28 Jun 2012M, diadakan Majlis Penyampaian Anak Kunci Rumah Bantuan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada saudara baru iaitu Dayang Nursakinah binti Abdullah Injan@Narasikin binti Injan, 38 tahun.
Rumah tersebut mempunyai tiga buah bilik tidur, satu ruang tamu, dapur, bilik mandi dan tandas. Manakala jumlah kos pembinaan bagi setiap rumah adalah lebih kurang B$43,500.00.
Bagi membolehkan beliau sekeluarga termasuk 5 orang anak beliau untuk meneruskan dan menghayati kehidupan sebagai keluarga Muslim yang sempurna, Yayasan memberikan rumah bantuan Skim Perumahan Yayasan untuk memperbaiki taraf kehidupan mereka disamping mereka dapat melaksanakan kewajipan terhadap Allah Subhanahu Wata'ala dalam keadaan yang selesa dan aman.
Hadir di majlis ini bagi menyampaikan anak kunci rumah kepada penerima tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir di majlis pada pagi ini adalah Penolong-Penolong Pengarah Urusan Yayasan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-Pegawai Kanan Yayasan dan Pegawai-Pegawai Kerajaan yang terlibat dalam menjayakan projek ini.






