
"Antara aturcara majlis adalah bacaan takhtim dan diselajurkan dengan bertahlil beramai-ramai"
Sempena Ulangtahun Penubuhan Yayasan Sultan HajiHassanal Bolkiah Yang Ke-20 Tahun, salah satu acara yang telah diadakan bagi menyemarakkan sambutan tersebut adalah bacaan 20 kali Khatam Al-Quran yang diadakan majlis pelancarannya pada 12 Jamadilakhir 1433 bersamaan 4 Mei 2012 yang lalu bertempat di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan. Selama 15 minggu bermula tarikh tersebut, seramai 20 orang pembaca Al-Quran terpilih yang terdiri daripada pelajar-pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah membacakan Al-Quran dan setiap seorang menghabiskan bacaan 30 juz Al-Quran (satu kali khatam).
Berikutan majlis tersebut, pada hari Jumaat, 18 Zulkaedah 1433 bersamaan 5 Oktober 2012, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) mengadakan Majlis Penutup Pembacaan 20 Kali Khatam Al-Quran dan juga diadakan acara tahunan Yayasan iaitu Majlis Doa Kesyukuran sempena 20 tahun penubuhan Yayasan.

Aturcara majlis dimulakan dengan sembahyang Fardhu Asar berjemaah. Ini diikuti dengan bacaan takhtim dan diselajurkan dengan bertahlil beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Md Redzuan bin Haji Marzuki, Pegawai Hal Ehwal Masjid. Seterusnya majlis diteruskan dengan Dikir Marhaban yang dibawakan oleh Pasukan Dikir Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Majlis diakhiri dengan bacaan doa khatam dan doa kesyukuran sempena 20 tahun penubuhan Yayasan.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ditubuhkan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 5 Oktober 1992 sempena sambutan Jubli Perak menaiki Takhta. Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Ahli Keluarga Diraja Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat Baginda serta menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.
Hadir di majlis ini ialah Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim bin Pengiran Indera Mahkota Pengiran Anak (Dr) Kemaludin Al-Haj, Timbalan Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim, rakan-rakan strategik (strategic partnership) Yayasan, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Sepanjang dua puluh tahun penubuhannya, Yayasan telah berjaya melaksanakan beberapa projek dan aktiviti selaras dengan dasar dan tujuan penubuhannya iaitu meliputi bidang ugama, kebajikan, pendidikan, pembangunan dan kewangan. Semua ini dijalankan adalah dengan tujuan untuk meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat di negara ini.






